Tumpuan :
Nasional

NRES, JIJCKK bincang soal pembenihan awan – Nik Nazmi

Empangan Air Itam menyusut susulan akibat cuaca panas dan dijangka mampu bertahan lebih 30 hari sahaja lagi tanpa hujan.

KOTA BHARU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sudah mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) berhubung soal pembenihan awan bagi mengatasi empat empangan yang dilaporkan kritikal.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata di peringkat kementeriannya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang akan memberikan panduan berhubung pembenihan awan.

“Empat empangan yang dilaporkan kritikal itu akan diberi tumpuan dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga memantau secara dekat dari semasa ke semasa.”

Keadaan air Sungai Tembeling di Ulu Tembeling yang susut akibat musim kemarau yang berlaku di kawasan itu.

Katanya, pembenihan awan akan dilakukan untuk tempat yang kritikal dan sekiranya wujud faktor yang sesuai seperti cuaca baik, angin dan awan yang betul.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Profesional Anak Kelantan 2024, di sini, semalam.

Terdahulu media melaporkan, empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikal, setakat tiga hari lalu susulan cuaca panas.

NADMA memaklumkan, empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus); dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi bagaimanapun berkata berdasarkan kenyataan METMalaysia, keadaan kemarau semakin reda.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, pihaknya juga sedang memantau keadaan cuaca terkini.

METMalaysia dalam kenyataannya pada Rabu lalu mengunjurkan fasa peralihan monsun telah bermula pada Jumaat lalu dan akan berlanjutan hingga Mei depan.

Menurut METMalaysia perubahan cuaca itu akan menyebabkan keadaan cuaca kering dan panas yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka pulih menjelang pertengahan bulan depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini