KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil serius terhadap laporan siasatan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai dakwaan salah laku melibatkan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sebagai respons, kementerian itu komited untuk memperkukuh mekanisme penguatkuasaan melalui pemantapan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) dan memperkuat Standard Operasi Prosedur (SOP) berkaitan pengurusan e-waste.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, memperkukuh integriti dan memastikan profesionalisme dalam melindungi alam sekitar.
“Langkah dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian menggariskan bahawa usaha itu melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur penguatkuasaan, termasuk pemantauan dan penyiasatan yang lebih teliti.
Dengan penambahbaikan tersebut, kementerian berharap penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan bertanggungjawab.
Fokus utama adalah meningkatkan ketelusan dalam setiap tindakan yang diambil bagi memastikan pengurusan alam sekitar yang mampan.
Sebagai tambahan, kementerian menekankan kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke negara ini.
E-waste, yang merujuk kepada buangan elektronik, menjadi tumpuan utama kerana potensi ancamannya terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
Kementerian memastikan pematuhan terhadap peruntukan yang ada dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, serta peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
Untuk menguatkan usaha itu, pihak kementerian telah meningkatkan pemantauan dengan menggunakan teknologi terkini, selain menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.
Pemeriksaan ketat di pintu masuk negara dan pengawasan terhadap aktiviti import turut dipertingkatkan.
Semua langkah itu diambil bagi memastikan tiada kemasukan e-waste yang dapat menjejaskan alam sekitar atau memberi impak negatif kepada kesihatan awam.
Dengan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan terancang, kementerian menegaskan komitmennya untuk melaksanakan inisiatif itu demi kelestarian alam sekitar negara.
Kementerian berharap agar setiap langkah yang diambil dapat meningkatkan pengurusan buangan dengan lebih mampan, bertanggungjawab dan memastikan perlindungan alam sekitar yang lebih berkesan untuk generasi akan datang.
Sebelum ini, EAIC mengesahkan wujud cubaan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) melepaskan kontena dipercayai mengandungi sisa elektronik (e-waste) di Westports, Pelabuhan Klang pada Mei tahun lalu.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dibuat tanpa punca kuasa jelas dan justifikasi yang wajar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.