comscore
Tumpuan :
Nasional

NPRA KKM kesan dua produk kosmetik mengandungi merkuri

Dua produk yang dikesan mengandungi merkuri. FOTO: Sumber KKM

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua produk kosmetik iaitu Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream mengandungi merkuri.

Susulan itu, notifikasi produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, merkuri adalah sejenis bahan racun berjadual yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Ia (merkuri) boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham meminta penjualan dan pengedaran produk kosmetik terbabit dihentikan serta merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.

Loading...
Terkini