
Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan melakukan serahan notis kekosongan DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini.
Ia susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin semalam di Pulau Pinang.
“Proses pemakluman sama seperti yang pernah dilakukan ketika berlakunya kekosongan kerusi DUN Slim sebelum ini. Notis rasmi akan disampaikan kepada SPR paling awal menjelang hari Selasa ini,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham, pagi tadi.
Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi itu.
Allahyarham Ishsam rebah selepas menyertai kejohanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, di Pulau Pinang petang semalam.
Allahyarham dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 5.40 petang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang.
Allayarham memenangi kerusi DUN Ayer Kuning buat penggal pertama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan majoriti 2,213 undi.
Beliau merupakan pemain bola sepak negeri Perak dan Negeri Sembilan pada tahun 1980 dan 90-an dan pernah mewakili skuad kebangsaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.