comscore
Tumpuan :
Nasional

Nota Diplomatik bocor, KLN buat laporan polis

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik dari KLN China yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Februari lalu.

KLN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, laporan polis itu dibuat supaya siasatan dapat dibuat oleh pihak berkuasa dengan segera.

“Kementerian ini memandang serius isu kebocoran dokumen tersebut kepada pihak umum yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua negara.

“Dalam konteks ini, KLN sedang menjalankan siasatan dalaman tentang kebocoran maklumat terperingkat ini,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan sebuah portal media Filipina bertarikh 29 Ogos 2024 berhubung Nota Diplomatik tersebut.

Mengulas lanjut, KLN atau dikenali sebagai Wisma Putra berkata, Malaysia dan China mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang sangat akrab dan aktif.

Kedua-dua negara adalah Rakan Strategik Komprehensif dan sentiasa mengambil inisiatif baharu yang berpotensi memantapkan perkongsian tersebut ke tahap lebih tinggi.

“Berkenaan isu Laut China Selatan, kedua-dua negara telah menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik tanpa pertelingkahan atau kekerasan,” katanya.

Pada masa sama, menurut Wisma Putra, pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan tidak pernah berganjak.

Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan Peta Malaysia 1979.

Pendekatan Malaysia itu selaras prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain termasuk China.

“Ini selaras dengan peruntukan yang termaktub di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang menekankan penyelesaian kepada pertelingkahan secara aman tanpa ancaman atau kekerasan,” katanya.

Selain itu, Malaysia kekal komited di dalam rundingan antara negara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan efektif serta selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Mulai bulan lalu, Malaysia dan China merupakan pengerusi bersama selama tiga tahun bagi mesyuarat ASEAN dan China berkaitan pelaksanaan DOC serta rundingan bagi memuktamadkan COC.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini