MARANG: Makanan yang dimasak menggunakan arang seperti sate, ikan bakar dan ayam bakar pasti membangkitkan selera kerana menghasilkan aroma ‘smoky’, rasa dan tekstur yang istimewa.
Walaupun penggunaan arang dalam masakan kini semakin kurang, namun keunikan rasa makanan yang dihasilkan terus mendapat permintaan terutama di Malaysia.
Seiring perkembangan masa dan teknologi, fungsi arang dalam kehidupan seharian semakin pupus kerana digantikan dengan penggunaan gas dan elektrik di dapur.
Namun beberapa penduduk di Kampung Pulau Kerengga, di sini, masih menjalankan aktiviti perusahaan arang secara tradisional yang menggunakan ketuhar arang atau dipanggil ‘gok’ oleh penduduk setempat.
Faridah Omar dan Maimon Idris yang lebih mesra disapa Mak Long antara yang masih aktif dalam pembuatan arang di kampung berkenaan.
Kedua-dua wanita 60-an ini terlibat secara aktif dalam pembuatan arang sejak tahun 1980-an untuk menyara kehidupan keluarga.
“Selepas arwah suami Mak Long meninggal, Mak Long pun buat arang ini sendiri untuk ganti dia dan untuk tampung pembelajaran anak-anak dan pendapatan untuk mak long juga.
Jadi, sekarang sudah meningkat usia, tenaga pun kurang, Mak Long kurang sikit buat arang,” kata Mainon.
Bagi Faridah pula, aktiviti pembuatan arang menggunakan gok yang diwarisi daripada ibu mertuanya sejak tiga dekad lalu, masih diteruskan sebagai lambang dedikasi dan ketekunan wanita di kampung berkenaan.
Pembuatan arang dalam gok adalah proses pirolisis iaitu pemecahan bahan organik melalui pemanasan tanpa oksigen.
Proses ini memerlukan penelitian rapi kerana tanpa teknik yang betul, akan menjejaskan kualiti arang yang dituai.
Bagi beberapa pengusaha arang yang masih aktif di kampung berkenaan, mereka mengumpul dan memilih sisa kayu hutan yang telah ditebang bertujuan pembinaan kawasan perumahan untuk dijadikan arang.
Kayu berkenaan akan disusun dalam gok sebelum tanah liat disapu secara teliti ke seluruh permukaan ketuhar bagi memastikan tiada udara yang masuk atau keluar semasa proses pembakaran.
Proses ‘memasak’ arang ini memakan masa sehingga tiga minggu, bergantung kepada jenis dan keadaan kayu.
Setelah semua peringkat pembakaran selesai dan ketuhar sejuk, pintu gok akan dipecahkan. Mereka akan memilih arang berkualiti untuk dijual.
Arang yang dibungkus dalam guni boleh mencapai berat 20 kilogram dan dijual dengan harga RM33 seguni.
Pengusaha arang generasi baharu seperti Ahmad Adiq Darwish Affendi yang juga anak saudara Mak Long, masih giat menimba ilmu bagi memastikan perusahaan tradisi ini tidak terkubur.
“Buat masa sekarang ini, saya sedang proses untuk mencari ilmu, modal dan lebih pengalaman untuk saya usahakan arang ini sebab saya tidak mahu generasi akan datang tidak nampak arang ini pernah ada.
Saya pun berharap, apabila saya tua nanti, anak-anak saya akan berminat untuk melakukan kerja kerja seperti ini. Supaya mereka tahu, orang dahulu pernah membuat kerja seperti ini,” katanya dalam program Majalah 3.
Terlepas siaran di TV3? Anda boleh tonton semula episod ‘Nostalgia Gok Arang’ menerusi Tonton.
Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.