Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor tidak dicalonkan di mana-mana kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada Ogos ini.
Norsabrina dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau sedar keputusan sukar dibuat kepimpinan parti, dalam keadaan UMNO perlu berhadapan perlawanan yang sukar, dan antara hidup atau mati dalam PRN kali ini.
“Maka, saya menganggap keputusan ini adalah suatu pilihan di antara beberapa strategi bagi BN-Pakatan Harapan (PH) Kedah memenangi PRN kali ini. Perancangan manusia hebat tetapi perancangan Allah jua yang terbaik. Manusia membuat pilihan, Allah SWT mentakdirkan, Saya redha atas ketentuan ini.
“Saya menerima seikhlasnya keputusan ini dan percaya bahawa lebih besar hikmah akan diperoleh kerana tunjang kita berorganisasi adalah Taat & Wala’ kepada kepimpinan. UMNO dan BN katanya berhadapan tugas mencabar menguasai 55 peratus pnegundi Kedah dikalangan anak muda berumur 40 tahun ke bawah.
“Perspektif dan naratif yang perlu dibawa mesti selari bersama kewibaan UMNO Kedah terutama calon-calon yang bakal ditonjolkan nanti. Saya percaya ianya mampu diterjemahkan dengan baik pada 12 Ogos 2023 nanti, ” katanya.
Justeru beliau mengajak semua ahli UMNO untuk setia dalam perjuangan dan meneruskan selekoh terakhir dalam mencapai kejayaan bagi BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Ogos ini.
Norsabrina merupakan ADUN selama dua penggal di DUN Bandar Baharu, dan pernah menjadi Exco Sains dan Inovasi, Komunikasi Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi negeri.