Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta merta.
Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Dr Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO memaklumkan, keputusan itu dibuat kerana akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kerana telah diberi peluang berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan.
“Berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang”
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan Kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas” katanya.
Ujarnya lagi, beliau akan meneruskan usaha menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 meskipun tidak lagi berada dalam Menteri Kabinet Persekutuan.