Tumpuan :
Nasional

Nor Sam Ketua Pengarah Pertanian baharu


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori), Datuk Nor Sam Alwi dilantik sebagai Ketua Pengarah Pertanian yang baharu berkuat kuasa semalam.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Pertanian (DOA) memaklumkan, Nor Sam adalah pegawai wanita kedua yang dilantik memegang jawatan nombor satu di jabatan berkenaan.

“Pelantikan beliau dibuat berdasarkan prestasi dan pengalaman luas beliau di DOA di samping pengetahuan serta kredibiliti beliau dalam pembangunan sektor agromakanan untuk menerajui DOA,” menurut kenyataan itu.

Nor Sam, 57, adalah lulusan Ijazah Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Kuasa Usaha bahagian teknikal pertanian, Pengarah Pertanian Perak, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) di Ibu Pejabat Jabatan Pertanian, Putrajaya.

Watikah pelantikan Nor Sam disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu majlis di sini semalam.

Untuk rekod, jawatan Ketua Pengarah DOA mulai kosong sejak 26 Ogos lalu selepas penyandangnya, Datuk Zahimi Hassan bersara wajib.

“Semoga pelantikan ini dapat membawa DOA ke satu dimensi baharu dalam memacu kecemerlangan dalam pembangunan sektor agromakanan negara,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini