Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
MELAKA: Pelukan kemaafan ketika pertemuan terakhir Oktober lalu jadi kenangan yang diingati oleh Adik kepada mangsa nahas membabitkan lima kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan, malam tadi.
Adik mangsa, Ismail Khamid, 50 memaklumkan dalam pertemuan terakhir itu, abangnya, Allahyarham Noorisnien Khamid turut menangis dan meluahkan rasa kesal di atas kesalahan yang pernah dilakukan.
“Dia (Allahyarham Noorisnien Khamid) bersalaman, menangis, dan berpelukan sambil meminta maaf atas apa sahaja kesalahan yang mungkin pernah dilakukannya. Saya terkejut kerana dia tidak pernah berkelakuan begitu.
“Perilaku arwah sangat berbeza waktu itu. Dia kelihatan runsing dan berada dalam keadaan tertekan,” katanya.
Tambahnya lagi, arwah pernah meluahkan rasa bosan berada di rumah, sehingga Ismail mengajaknya keluar untuk menenangkan fikiran.
“Saya ajak dia keluar minum untuk hilangkan tekanan yang dia rasa,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, ujarnya berita mengenai kemalangan itu diterima Ismail daripada rakannya yang kebetulan melalui laluan tersebut.
“Kawan saya yang hendak ke Kuala Lumpur memaklumkan kepada saya, ‘jangan terkejut, abang kau yang bawa bas itu, dan dia telah meninggal dunia’,” katanya pilu.
Dalam kejadian malam tadi, tujuh mangsa disahkan terkorban dalam kemalangan tragis membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.