Tumpuan :
Nasional

NIOSH sokong kajian menyeluruh keselamatan kenderaan berat

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai penubuhan pasukan khas untuk menangani isu keselamatan kenderaan berat.

Inisiatif itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan menetapkan standard tertinggi dalam sektor pengangkutan negara.

“Kenderaan berat memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor pengangkutan barang dan logistik.

“Namun begitu, keselamatan dan pengoperasian kenderaan berat perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan risiko kepada pemandu, penumpang dan orang ramai.

“Isu seperti muatan berlebihan, penyelenggaraan yang tidak mencukupi, serta kegagalan mematuhi peraturan keselamatan perlu diatasi secara menyeluruh,” menurut NIOSH dalam satu kenyataan.

Pendekatan holistik yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan dalam menangani isu keselamatan kenderaan berat adalah amat penting.

Ia termasuk melibatkan pihak berkepentingan, menyemak semula undang-undang yang berkaitan serta menangani isu berlarutan seperti muatan berlebihan dan penyelenggaraan kenderaan. NIOSH menyokong penuh usaha ini demi meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.

NIOSH turut menyokong usaha meningkatkan latihan kompetensi dalam industri pengangkutan melalui Kod Amalan Keselamatan Industri.

Sebagai peneraju dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, NIOSH bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi lain untuk menyediakan modul latihan yang lebih terperinci.

“Modul latihan ini dapat membantu operator kenderaan berat memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan kenderaan mereka dengan selamat dan cekap, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan akibat kecuaian manusia,”tambah NIOSH.

NIOSH turut menyokong langkah Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meningkatkan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan memperluas mekanisme penguatkuasaan seperti sistem ‘Speed-Violation-in-Motion’.

Tindakan itu akan memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan penting, seperti tayar, brek, dan komponen lain yang kritikal, yang dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Muatan berlebihan adalah isu berterusan yang menjejaskan keselamatan jalan raya serta mempercepatkan kerosakan infrastruktur.

Sehubungan itu, NIOSH menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengenakan penalti yang lebih berat terhadap kesalahan ini serta melaksanakan pendekatan tanggungjawab bersama antara pengirim, pengangkut, dan pengendali.

NIOSH ingin menekankan keperluan menyelaraskan usaha ini dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, yang menuntut tanggungjawab pihak majikan untuk memastikan keselamatan pekerja.

“Dengan mengintegrasikan prinsip akta ini ke dalam usaha pasukan khas, keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya dapat ditingkatkan melalui budaya tanggungjawab bersama.

“NIOSH juga mencadangkan agar pasukan khas memberi keutamaan kepada usaha menyelaraskan undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987. Penyelarasan ini penting untuk menutup jurang dalam peraturan keselamatan dan memastikan penguatkuasaan yang seragam di seluruh negara,” maklum kenyataan itu.

Sebagai penasihat utama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, NIOSH komited untuk memberikan sokongan teknikal, kepakaran penyelidikan, dan sumber latihan kepada Kementerian Pengangkutan.

NIOSH percaya bahawa kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri, dan masyarakat akan dapat menjadikan jalan raya Malaysia lebih selamat untuk semua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini