Oleh: Qirana Nabilla
KUALA LUMPUR: “Kasih ibu membawa ke syurga”.
Bulan Mei, selalunya sinonim dengan sambutan hari ibu sebagai salah satu momen istimewa untuk menghargai insan yang melahirkan kita ke dunia ini.
‘DIY Bracelet Workshop’ yang diadakan di ibu negara merupakan salah satu pendekatan bagi mengeratkan hubungan sesama anak beranak sempena Hari Ibu yang disambut hari ini.
Hadirnya hari ibu ini khususnya ditujukan untuk wanita teristimewa dalam kehidupan kita bagi menghargai jasa-jasa mereka.
Bahkan darjat dan kemuliaan seseorang ibu juga tiada tolok tandingnya.
Dengan inisiatif ‘DIY Bracelet Workshop’ yang diadakan secara percuma sempena sambutan Hari Ibu tahun ini menjadi inspirasi buat anak-anak memupuk nilai kasih sayang terhadap insan istimewa ini.
“So workshop ni adalah salah satu cara untuk buat parents spend masa la dengan anak. Salah satu cara untuk mengeratkan silaturrahim dengan anak, so macam parents yang biasanya busy kan so macam through programme/workshop ni kira ada masa la dorang spend time together,” kata penganjur, Amirah Aqilah.
Tak kurang meriahnya juga sambutan dari si ibu sendiri yang sama-sama mencipta kenangan terindah ini bersama si kecil mereka.
Tidak dinafikan mungkin ada di antara mereka yang sebelum ini sibuk dengan kerjaya masing-masing demi memberikan yang terbaik buat keluarga, namun melalui aktiviti ini membolehkan para ibu ‘mencuri’ masa untuk diluangkan bersama anak-anak.
“Saya rasa inisiatif ini sangat bagus untuk eratkan hubungan dengan anak-anak. Aktiviti ini boleh dibuat percuma sahaja kerana mungkin ada yang kurang berkemampuan, jadi inisiatif melakukan aktiviti DIY bersama ibu dan anak adalah usaha yang bagus,” kata si ibu, Tashveen Kaur.
Melihat telatah si kecil yang sedang menyusun manik manik yang disediakan dengan ungkapan “i love you mama” benar-benar menyentuh hati kami.
Sembilan bulan kita dikandung sudah membuktikan kekuatan luar biasa seseorang ibu itu dan sebagai seorang anak pula, sudah menjadi kewajipan untuk kita berbakti dan menghargai jasa mereka.
Pendekatan ini bukan sahaja kreatif tetapi masa-masa yang kita luangkan bersama ibu tersayang itulah yang akan kita kenang sepanjang masa. Buat insan bernama ibu, selagi mentari menyinari, selagi itu mengalir doamu hari demi hari, selagi purnama silih berganti, selagi itu kasih sayangmu tidak akan pernah terhenti.
Selamat Hari Ibu!