Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Peluang bagi pembangunan industri Halal sentiasa terbuka luas untuk para usahawan menceburinya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia berikutan perdagangan halal di pasaran global diunjurkan mencecah RM22.34 trillion sehingga tahun 2030.
“Nilai pasaran halal domestik Malaysia pula diunjurkan meningkat kepada RM400 bilion, sekali gus menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.”
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), industri Halal telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi yang akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan tenaga kerja, memacu pembangunan industri, meningkatkan daya saing produk seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.”
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan selepas hadir membuat lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara KIMAR di sini hari ini.
Tambah beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) skop pembangunan industri Halal merangkumi semua pengguna tanpa mengira bangsa dan agama.
Selain ia berkait rapat dengan jaminan kualiti, pemuliharaan persekitaran, integriti dan ketelusan data serta amalan perniagaan yang lestari.
Ekosistem Keusahawanan Halal merangkumi kemudahan latihan untuk membangunkan modal insan, pembangunan perniagaan yang meliputi keseluruhan sistem dalam perniagaan serta menyediakan kemudahan dalam bentuk fasiliti sokongan yang diperlukan oleh sesebuah perniagaan.