Tumpuan :
Nasional

Nikmat bersahur disyukuri bersama keluarga asnaf

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kaum ibu antara yang paling sibuk setiap kali menyambut Ramadan dalam persiapan menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa.

Bagi golongan asnaf hanya berlaukkan telur dan ikan masin terkadang hanya hidangan nasi sudah cukup menzahirkan erti bersyukur.

Dalam mengimarahkan lagi hari pertama umat Islam berpuasa mereka disantuni Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk merasai nikmat bersahur bersama.

Tiada pembahagi rumah di sinilah dapur, ruang tamu dan tempat tidur tujuh orang sekeluarga di teratak kecil yang dikunjungi.

Norlillah Oton, 36, tahun bekerja sebagai pembantu kantin dan menjual rebung di pasar bagi menambah pendapatan suaminya sebagai pembantu bengkel.

Bagi Norlillah keadaan rumah atau beberapa kekurangan keperluan harian bukan persoalan utama kerana sudah alah bisa tegal biasa tanpa mengharap ihsan sesiapa.

Apa yang menjadi harapannya sebagai seorang ibu melihat tiga daripada lima orang anaknya berumur 16 hingga 20 tahun berjaya dalam hidup.

Malangnya permohonan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah sehingga kini tidak diterima lantas mereka tidak pernah bersekolah sejak kecil apatah lagi berdepan kesukaran sebarang urusan pendaftaran lain.

“Kalau soal rumah saya bersyukur sebab dapat tinggal di sini pun syukur Alhamdulilllah cuma ada satu harapan yang selama ini saya urus tidak pandai selesai iaitu membabitkan anak saya yang sudah berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah sehingga kini menemui jalan buntu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Keluhan itu didengar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim yang turut serta dalam program singgah sahur Persatuan Dusun Islam Sabah (PDIS).

Menurut Peto pihaknya sudah memajukan perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dua minggu lalu dan berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Pejabat saya telah mengambil maklum masalah ini dan saya telah memberi arahan supaya dirujuk semula ada sedikit proses yang perlu diikuti agak rumit juga ni tapi kita akan cuba sekali lagi akan menilai dan selesaikannya sebaik mungkin,” katanya.

Tidak dapat memenuhi permintaan anak-anak mahu membeli juadah enak di bazar Ramadan yang ketika itu hanya tinggal RM3.00 di poket itu pula antara situasi pernah dialami dan memberi kesan kepada Sitti Aisah Manan, 32.

Aisah pernah diserang strok akibat terlalu bekerja, suami pula belum mendapat pekerjaan tetap, rumah pula rosak akibat banjir juga antara musibah yang dialami ibu kepada tiga orang anak.

“Contoh kalau Ramadan ni kan kadang-kadang anak-anak mahu makan ABC, nasi ayam diorang mahu masa tu kan jadi duit saya tinggal RM3.00 pun saya susah cari sebab anak-anak masih menyusu ketika itu lampin lagi itu sajalah sampai saya terlampau banyak kerja saya terkena strok masuk hospital,

“masa puasa diorang (anak-anak) mahu makan itu ini tapi tidak dapat kan berdoa saja setiap malam doa Tahajjud supaya suami dapat kerja syukur Allah dengar kerja Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) saja masa tu jadi RELA mungkin rasa penat ada darah tinggi dia tukar jadi tukang kebun,” katanya.

Kini beliau yang juga suri rumah bersama suaminya kini bekerja sebagai tukang kebun bersyukur kerana memiliki kediaman lebih selsesa melalui Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga.

Peto yang turut melawat keluarga terbabit berkata pejabat ADUN Inanam akan terus memastikan kumpulan sasaran yang layak menerima bantuan seumpama itu dikenalpasti di seluruh Inanam terutama mereka yang miskin tegar.

“Rumah SMJ ini begitu signifikan di kawasan Inanam tahun lalu kita telah sampaikan rumah SMJ lebih daripada 200 buah untuk kawasan Inanam dan dijangka pada tahun ini lebih dari 100 buah,” katanya.

Program Singgah Sahur dan Bersungkai PDIS sepanjang bulan Ramadan akan bergerak ke 30 kawasan terpilih seluruh Sabah dalam menyantuni golongan Asnaf yang fokus majoritinya masyarakat Dusun beragama Islam dan Mualaf.

Selain bantuan barangan dapur, baju dan duit raya serta keperluan asas lain PDIS turut membawa pek makan bersahur dan berbuka puasa bersama golongan terbabit termasuk meninjau keperluan lain untuk tindakan lanjut akan datang.

Naib Presiden PDIS, Datuk Jalumin Bayogoh berkata dan berharap program seumpama itu dapat diikuti NGO lain yang bukan hanya memfokuskan acara berbuka namun sesekali turun padang melihat sendiri keadaan keluarga asnaf yang lebih memerlukan.

“Kita sudah bergerak lebih daripada 10 tahun kita berada di sekitar Sabah antara lain kita punya tugasan niat adalah untuk menambahkan ilmu orang yang baharu masuk Islam di kalangan orang Dusun ini dan Alhamdulillah setakat ini semakin ramai yang tahu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini