Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Nik Nasarudin, 57, berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 32 tahun bermula sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Guru) yang disandang dari 1990.
Beliau kemudian dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 16 Disember 1996.
“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang terutama melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan setelah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Nik Nasarudin juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.
“Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Nik Nasarudin, saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani,” kata Mohd Zuki.