KUALA LUMPUR : Tiada berita lebih menggembirakan buat balu Allahyarham Bob Lokman, Relawati Daud, 42, apabila impian arwah suami memiliki kediaman sendiri, tercapai.
Relawati bersyukur hasil sumbangan orang ramai melalui organisasi, Muslim Care Malaysia, keluarganya bakal menerima sebuah rumah bernilai RM75,000.
Biarpun arwah suami tiada untuk melihat rumah impian tersergam di depan mata, namun, Relawati bersyukur kerana hasrat yang lama tersimpan, akhirnya jadi kenyataan.
“Perasaan saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat tunaikan impian arwah. Urusan pembinaan rumah ini dibuat ketika arwah masih ada.
“Muslim Care Malaysia menyatakan hasrat membantu mencari sumbangan untuk projek pembinaan rumah itu berikutan kami ada tanah dan semua dokumen diperlukan.
“Saya terima mesej daripada Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan memaklumkan mereka berjaya mengutip RM75,000 yang diperlukan untuk membina rumah dijanjikan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Muslim Care Malaysia yang membantu kami menguruskan pembinaan rumah dan mereka yang memberi sumbangan.
“Kami sangat menghargainya,” katanya kepada BH Online.
Pada 23 September lalu, Allahyarham Bob atau nama sebenar, Mohd Hakim Lokman, 58, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu, pada jam 3 petang akibat komplikasi jantung.
Jenazah arwah Bob disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, pada jam 9.30 malam, hari yang sama.
Pada awal Disember 2020, arwah Bob dilaporkan pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) bagi menstabilkan denyutan jantung di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah.
Relawati menyerahkan semua urusan berkaitan pembinaan rumah itu kepada Muslim Care Malaysia.
“Semua dokumen sudah diserahkan kepada pihak terbabit. Mereka hendak tengok keluasan tanah di Pasir Puteh, Kelantan itu .
“Selepas itu, barulah mereka akan tunjukkan pelan rumah yang sesuai dengan keluasan tanah terbabit.
“Buat masa ini, saya hanya tunggu panggilan untuk urusan di Pejabat Tanah dan Galian jika diperlukan,” katanya.
Entri itu turut memaparkan usaha dilakukan penulis lirik Taman Rashidah Utama itu sebagai pendakwah dan aktivis kerja amal bersama organisasi itu sejak 2014.
Berkongsi kehidupan selepas ketiadaan suami tercinta, Relawati mengaku sunyi kerana kehilangan teman berbual.
“Selalunya, apabila bangun pagi, saya nampak arwah dan kami bersembang. Arwah menjadi rujukan untuk saya bertanya pendapat.
“Tetapi selepas arwah tiada, rutin harian sudah bertukar. Keadaan itu sangat memberi kesan kepada emosi.
“Berhari-hari saya duduk termenung,” kata ibu kepada tujuh anak ini.
Bagi menampung kehidupan, Relawati mengusahakan perniagaan makanan dan mengambil tempahan juadah.
“Ketika arwah masih hidup, beliau tidak galakkan saya buka kedai.
“Jadi, sehingga sekarang, saya masih menjalankan perniagaan makanan dari rumah ke rumah atau mengambil tempahan pelanggan.
“Juadah dijual antaranya bubur daging dan beberapa sajian lain. Produk sedia ada seperti serunding daging masih lagi diusahakan seperti biasa,” katanya.
Arwah Bob terkenal sebagai penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama. Beliau juga cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Allahyarham Tok Kenali.-BERITA HARIAN