GUA MUSANG: Kira-kira 500 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Kampung Tendrik, Pos Bihai, di sini gempar susulan penemuan kesan tapak kaki harimau di perkampungan itu.
Penduduk mendakwa turut mendengar suara ngauman harimau kira-kira jam 12 tengah malam semalam di sekitar penempatan Orang Asli terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Pelinejon Assut, berkata penemuan kesan tapak kaki harimau itu kelmarin membimbangkan penduduk kampung itu.
Katanya, kini penduduk tidak hanya berhadapan dengan serangan gajah liar terhadap kebun pisang mereka, tetapi juga harimau yang dipercayai berkeliaran di kawasan kampung.
“Saya tidak dapat pastikan harimau apa kerana belum melihatnya sendiri. Kesan tapak kaki terbabit ditemui oleh seorang penduduk kampung ketika pulang dari kebun pisangnya.
“Sebelum kejadian, penduduk terbabit ke kebun pisang kira-kira jam 12 tengah hari dan ternampak kesan tapak kaki haiwan liar itu ketika pulang dari kebun.
“Terkejut dengan kejadian itu, dia memaklumkan kepada saya dan ke lokasi yang tidak jauh dari Kampung Tendrik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Pelinejon, penduduk juga dikejutkan dengan bunyi ngauman harimau pada malam semalam di sekitar kawasan kampung.
Katanya, penemuan kesan tapak kaki harimau itu sudah kerap ditemui penduduk ketika mencari hasil hutan, namun apabila haiwan liar itu mula bertindak masuk ke kawasan kampung ia menimbulkan kebimbangan penduduk.
“Tahun lalu memang ada Harimau Belang yang berkeliaran di kawasan kampung ini, tetapi selepas itu hilang dan mungkin masuk ke hutan berdekatan.
“Kini selepas hampir satu tahun haiwan liar ini muncul kembali dan kami kerap mendengar salakan anjing pada waktu malam.
“Saya menasihatkan penduduk supaya berhati-hati ketika ke kebun dan tidak pergi sendirian. Kita tidak mahu berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Pelinejon berkata, laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan berharap tindakan segera dapat diambil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.