Tumpuan :
Nasional

Nenek, cucu tersesat di Bukit Buluh Telur

Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua individu yang tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, hari ini. – FOTO: NSTP / Ihsan BOMBA

HULU SELANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua sekeluarga di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, di sini, selepas dikatakan tersesat hari ini.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa adalah seorang wanita warga emas berusia 62 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.12 petang.

“Sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.

“Menurut laporan awal, kedua-duanya dipercayai pergi ke kebun durian mereka sebelum wanita warga emas itu menghubungi anak sulungnya pada jam 12 tengah hari dan memaklumkan tersesat.

“Susulan itu, anak mangsa membuat laporan berhubung kehilangan ahli keluarganya jam 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Dalam pada itu, Wan Md Razali berkata, pihak bomba terpaksa menangguhkan operasi SAR pada jam 7.20 malam.

“Ini disebabkan faktor gelap dan keadaan cuaca yang hujan di lokasi kejadian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini