comscore
Tumpuan :
Nasional

Nenas ‘gergasi’ tarikat terbaharu Langkawi

Foto: NSTP

LANGKAWI: Tiga replika nanas Moris masing-masing berketinggian 1.8 meter yang dibina di Tanjung Buta di sini, menjadi tarikan terbaru sebagai lokasi bergambar, selain sebagai simbol tanaman utama di pulau ini.

Replika diperbuat daripada kayu dan gentian kaca itu dibangunkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan kerjasama Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak Berhad (KNSKBB).

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata nanas Moris ditanam secara meluas di Langkawi dengan peratusan keluasannya mencecah 80 peratus diikuti 20 peratus lagi membabitkan lain-lain jenis.

Proses menyiapkan tiga replika nanas masing-masing setinggi 1.8 meter dan ukur lilit 0.9 meter itu bagi melambangkan keunikan dan kepentingan nanas di pulau ini mengambil masa sebulan.

“Kewujudan replika bersaiz gergasi di kawasan Geotrail Kubang Badak sudah pasti menjadi lokasi bagi pelancong untuk melaram OOTD (Outfit-Of-The-Day),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan replika itu di sini, hari ini.

Perasmian replika nanas itu adalah sebahagian acara sempena Program Jelajah Hari Nanas Malaysia Peringkat Negeri Kedah/Perlis 2024 di Pangkalan Nelayan Sungai Kubang Badak, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh dan Pengarah LPNM Kedah/Perlis, Izwan Kasin.

Sementara itu, Sheikh Umar berkata, LPNM menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan ladang nanas di Kedah daripada 420 hektar ketika ini kepada 550 hektar menjelang tahun depan.

“Dari 550 hektar yang disasarkan itu, 50 hektar daripadanya adalah keluasan kawasan tanaman nanas di pulau ini, meningkat sebanyak 30 hektar berbanding kawasan tanaman sedia ada.

“Justeru, Langkawi bukan sahaja gah sebagai destinasi pelancongan, bahkan mengorak langkah berkembang sebagai pusat pertanian, khususnya penanaman nanas Moris dengan rasa manis dan tekstur yang baik,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan dalam penanaman nanas di Langkawi juga berjaya menawarkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi penduduk tempatan, disamping menarik pelaburan dalam sektor berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini