Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
LANGKAWI: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tiga nelayan yang hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kedah, Kedah ke Kuala Kurau, Perak pada hujung bulan lalu, dihentikan malam tadi.
Ia selepas usaha mengesan kesemua mangsa selama empat hari tidak menemui sebarang petanda.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, SAR meliputi 5,000 batu persegi itu ditamatkan jam 7.30 malam.
Selain APMM, operasi digerakkan bersama Polis Marin dan melibatkan penggunaan beberapa aset termasuk pesawat udara.
Tiga mangsa iaitu tekong warga Thailand, Aree Tomyang dan dua awak-awak tempatan, Rosli Hassan serta Zamri Harun masih gagal dikesan.
“Kita punya kawasan pencarian itu semakin hari semakin besar, dia hilang macam itu dan kita tiada petunjuk atau maklumat tempat kali terakhir dikesan. Itu sebab kita hentikan,” katanya kepada Buletin TV3
Katanya, operasi akan diaktifkan semula jika mendapat petunjuk baharu.
Sebelum ini, sebuah bot dikendali mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kedah ke Kuala Kurau pada 26 Januari lalu.
Mangsa tidak tiba di Kuala Kurau seperti dijadualkan, selain gagal dihubungi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.