comscore
Tumpuan :
Nasional

Nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar memancing

Pengkalan Raja di Kampung Sura Hujung yang merupakan lokasi Tengku Tengku Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan keluar menangkap ikan. – FOTO: NSTP

DUNGUN: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di kawasan perairan Pulau Tenggol, dekat sini, petang semalam.

Nelayan terbabit, Tengku Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan, 40, dari Kampung Sura Hujung keluar ke laut melalui Pengkalan Raja, kira-kira jam 6.15 pagi.

Mangsa dikatakan keluar memancing bersendirian dengan menaiki sebuah bot gantian kaca sepanjang kira-kira lima meter bernombor pendaftaran BRS 3814.

Kali terakhir mangsa dilihat berada di tengah laut di kawasan perairan Pulau Tenggol.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, adik mangsa yang berusia, 40, membuat laporan polis selepas mendapati mangsa tidak pulang sehingga lewat petang semalam.

“Adik mangsa mendakwa abangnya itu biasanya memancing di kawasan perairan belakang Pulau Tenggol.

“Adiknya telah cuba mencari namun gagal menemui mangsa dan talian telefon mangsa gagal dihubungi,” katanya.

Maizura berkata, bimbang akan keselamatan mangsa, adiknya itu kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis daerah Dungun untuk membuat laporan, kira-kira jam 7.42 petang semalam.

“Pihak kami turut memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin untuk membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini