Tumpuan :
Nasional

Nelayan di Manjung mohon projek perlombongan di pesisir pantai dihentikan

Kapal korek yang didakwa akan menjalankan kerja perlombongan di pesisir pantai Hutan Simpan Segari.

Oleh: Kumaran Rajamoney

MANJUNG: Lebih 1,500 nelayan yang bergantung hidup pada sumber pencarian di pesisir pantai mendesak supaya pihak berkaitan membatalkan kelulusan yang diberikan untuk satu projek perlombongan bijih timah dasar laut yang dijadual dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai daerah ini.

Projek itu didakwa telah mendapat kelulusan untuk dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai Hutan Simpan Segari dan dijangka dimulakan dalam waktu terdekat selepas kelulusan akhir diperoleh pada penghujung bulan lalu.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara, Mohamad Faizal Mat Zin, 41, berkata, kebenaran untuk aktiviti perlombongan itu diberikan dari muara Sungai Batu hingga Tanjung Batu, meliputi kawasan yang menjadi sumber pendapatan utama bagi nelayan di sekitar kawasan itu.

Komuniti nelayan Manjung Utara membantah projek perlombongan yang didakwa berpotensi menjejaskan hasil tangkapan.

“Kami memohon agar kelulusan tersebut ditarik balik atau dibatalkan demi menyelamatkan perairan yang menjadi sumber utama pendapatan kami, nelayan-nelayan persisiran pantai di kampung-kampung seperti Sungai Batu, Tebuk Yan, Segari, Pantai Remis, Pengkalan Baharu, Ujung Pasir, Matang Kerian, Sungai Tuntung, dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Dakwanya kawasan yang diberikan kelulusan untuk aktiviti perlombongan itu hanya jarak 200 meter dari persisiran pantai, yang dianggap tidak wajar kerana ia adalah kawasan tangkapan utama bagi nelayan serta kawasan pembiakan hidupan laut.

“Kelulusan yang diberikan pada 31 Januari lalu tidak akan menguntungkan kami sebagai komuniti nelayan. Kami khuatir ia akan memberi kesan buruk terhadap kawasan pembiakan hidupan laut,” ujarnya.

Tambah Mohamad Faizal, implikasi daripada aktiviti perlombongan itu akan memberi kesan terhadap lebih 7,500 isi rumah yang bergantung kepada ekosistem marin.

Ia berisiko mengakibatkan kehilangan ekosistem, gangguan rantaian makanan hidupan laut, pencemaran air di pesisiran pantai, serta peningkatan pemendakan dan kekeruhan.

Seorang nelayan, Zulkapli Hassan, 64, turut meluahkan kebimbangannya, dengan pembalakan yang berlaku di Hutan Simpan Segari sebelum ini telah memberi kesan negatif terhadap ekosistem tepi pantai dan menjejaskan pendapatan mereka.

“Kami telah beberapa kali protes mengenai isu ini, namun tidak ada sebarang tindak balas. Kini, kami dikejutkan dengan kelulusan kawasan perlombongan di pesisir pantai pula,” katanya dengan nada kecewa.

Justeru, komuniti nelayan itu memohon agar pihak berkuasa seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk mengambil langkah segera mempertimbangkan keluhan mereka.

“Sekiranya perlu, kami akan merafak sembah kepada Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, untuk mengadu akan keresahan yang kami alami sebagai rakyat yang bergantung hidup sebagai nelayan,” kata mereka.

Menurut rekod, dokumen yang diperoleh menunjukkan bahawa syarikat yang mendapat kelulusan untuk projek perlombongan itu telah membuat permohonan pada 7 Januari lalu dan kelulusan diberikan 24 hari kemudian.

Projek itu melibatkan kawasan perairan seluas 326 hektar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini