KUANTAN: Nelayan pantai diharapkan boleh membantu usaha memulihkan ekosistem hidupan laut dengan memastikan perairan negara ini tidak terus tercemar dengan plastik.
Ketua Pengarah Perikanan, Mohd Sufian Sulaiman, berkata kini terdapat kira-kira 70,000 nelayan pantai di negara ini yang hampir setiap hari turun ke laut untuk mencari rezeki.
Justeru katanya, kerjasama nelayan amat penting dalam memastikan perairan negara tidak terus tercemar dengan pelbagai sampah berasaskan plastik seperti botol air mineral, beg plastik dan pukat rosak.
“Saya berharap nelayan yang menggunakan pelbagai produk plastik seperti botol air mineral dan beg plastik tidak bertindak membuang barangan berkenaan ke dalam laut sebaliknya dapat dibawa pulang ke darat.
“Dan yang lebih baik lagi nelayan yang menjumpai barangan plastik di laut dapat membawanya pulang walaupun ia agak membebankan mereka,” katanya ketika merasmikan program ‘Kempen Laut Bebas Plastik’ Peringkat Kebangsaan 2022 di Pantai Sepat, di sini semalam.
Mohd Sufian berkata, sampah plastik yang berada di laut akan dimakan oleh hidupan laut seperti ikan dan penyu.
Selain itu terdapat banyak kes kematian penyu disebabkan termakan beg plastik yang disangka ampai-ampai
“Plastik yang terurai dalam jangka masa panjang menjadi mikro plastik yang akan dimakan oleh pelbagai spesies ikan dan kajian mendapati dalam badan manusia terdapat mikro plastik dipercayai kerana makan ikan laut yang tercemar,” katanya.
Mengulas mengenai kempen laut bebas plastik, beliau berkata kempen berkenaan dilakukan secara berperingkat di seluruh negara dalam usaha memberi kesedaran kepada semua pihak terhadap bahaya plastik di laut.
“Menerusi kempen laut bebas plastik kita berharap ia dapat memberi jaminan ikan yang terdapat di perairan negara bebas daripada mikro plastik dan peminat ikan bebas daripada penyakit merbahaya dalam jangka masa panjang.
“Kerjasama semua pihak seperti nelayan, penduduk setempat dan pelancong diperlukan supaya tidak bertindak membuang sampah plastik ke dalam sungai dan laut,” katanya yang memberi jaminan jabatan komited kempen laut bebas plastik.-Berita Harian