![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TORIMAN.jpg)
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang dikurniakan kepada bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman ditarik balik.
Pendaftar Darjah yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, Tuanku Muhriz menitahkan supaya Darjah Kebesaran Negeri Sembilan yang dikurniakan pada 14 Januari 2019 itu ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Ekhwan sebelum ini melepaskan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM.
Beliau kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.
Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan dan beliau juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Pada 5 Februari, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan sudah merakam keterangan dua individu daripada pengurusan tertinggi UKM berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan membabitkan Mohd Ehkwan.
Beliau berkata sebelum ini pihaknya menerima dua laporan polis daripada dua individu terbabit dan bakal memanggil beberapa lagi pihak lain bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.