Tumpuan :
Nasional

Negara Tua 2030: Pensyarah cadang Model Penjagaan Kesihatan Emosi Warga Tua Terlantar

Oleh: Selwam Arjunan

SINTOK: Malaysia disaran segera membangunkan sistem sokongan emosi komprehensif untuk warga tua yang terlantar di rumah, terutamanya apabila negara dijangka mencapai status “negara tua” menjelang tahun 2030.

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Normala Riza, mencadangkan model penjagaan kesihatan emosi empat peringkat untuk menyokong kesejahteraan mental warga tua.

Cadangan ini disampaikan menerusi pembentangan di Persidangan Pembangunan Sosial Antarabangsa kali ke-5 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, baru-baru ini.

“Model ini melibatkan peranan kerajaan, institusi kesihatan, komuniti dan keluarga dalam menyediakan penjagaan yang menyeluruh.

“Berdasarkan kajian dua tahun bermula Oktober 2022 di Kuala Nerus, Terengganu, didapati 56.7% penjaga berada pada tahap sederhana dalam amalan penjagaan emosi, dengan hanya 26.8% pada tahap tinggi.

“Ini menandakan perlunya penambahbaikan dalam sokongan terhadap warga tua,” katanya kepada Buletin TV3.

Selain sokongan kerajaan dan institusi kesihatan, Dr. Normala menggesa penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat, dan pusat latihan bagi menyediakan program kesedaran dan bantuan untuk komuniti.

Di peringkat individu, ujarnya peranan keluarga dan pekerja sosial adalah penting dalam memastikan kesejahteraan emosi warga tua terlantar.

“Tanpa sokongan mencukupi, penjaga mudah mengalami tekanan emosi yang akhirnya menjejaskan kualiti penjagaan mereka.

“Jadi perlunya langkah proaktif kerajaan untuk mempersiapkan sistem sokongan sosial dan kesihatan emosi yang mampan.

“Model ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup warga tua rentan, tetapi turut menyokong kesejahteraan penjaga,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia sedang menuju status negara tua menjelang 2030 disokong melalui laporan Jabatan Statistik Malaysia (JSM).

Status itu dicapai apabila peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas (berumur 65 tahun dan lebih) meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus (2021) daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia sudah menjadi negara menua, tambahan lagi usia penengah meningkat dari 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Menurut unjuran JSM pada 2030, kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60 dan pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk Malaysia melebihi usia 60 iaitu usia persaraan kebanyakan rakyat Malaysia dan juga ditetapkan kerajaan pada 2019 lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini