KUANTAN: Kerajaan dijangka perlu membelanjakan sehingga RM1 trilion untuk mengatasi masalah hakisan pantai di seluruh negara menjelang 2050 sekiranya tiada sebarang usaha dilaksanakan daripada sekarang.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan segera perlu disebabkan kesan daripada pemanasan global dan perubahan iklim yang berlaku ketika ini.
Katanya, mengikut unjuran dikeluarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada 2050, pulau-pulau kecil di Lautan Hindi dan Pasifik akan berada di bawah paras laut.
“Ertinya ini akan mengakibatkan kawasan-kawasan pantai sama ada di barat dan timur di Semenanjung, serta kawasan pantai Sabah dan Sarawak akan mengalami hakisan.
“Jangkaannya pada 2050, kalau tidak dibuat (atasi) sekarang, kita akan membelanjakan tidak kurang RM1 trilion untuk mengatasi masalah hakisan pantai ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track (HOT) @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPPP) berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peruntukan untuk membina pusat pemindahan kekal bagi menempatkan mangsa banjir.
Katanya, ini kerana pusat pembinaan sementara (PPS) kini menggunakan sekolah dan dewan.
“Perdana Menteri telah memberikan peruntukan untuk membina pusat pemindahan kekal dengan dilengkapi kemudahan tandas dan bilik mandi, bukan sebagaimana PPS yang menggunakan sekolah dan dewan.,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.