comscore
Tumpuan :
Nasional

Negara catat 8,856 kes Tibi setakat awal Mei tahun ini

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap sebelum merasmikan sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Sebanyak 8,856 kes Tibi direkodkan di seluruh negara setakat 4 Mei lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit Tibi masih merupakan salah satu beban penyakit utama di Malaysia dan kadar statistik yang direkodkan masih tinggi.

“Penyakit Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium Tuberculosis dan merebak melalui udara.”

“Oleh itu, kita menasihatkan masyarakat yang mempunyai tanda dan gejala seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah segera mendapatkan rawatan agar dapat membentung penyakit Tibi.”

“Saya juga menggesa masyarakat agar memperbetulkan salah faham dengan menganggap penyakit Tibi adalah akibat buatan manusia seperti santau kerana tanpa rawatan segera, penyakit ini boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Dr Dzulkefly ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada jumlah kes Tibi yang tinggi di negara ini antaranya berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), Dzulkefly menyatakan pihaknya menyedari perkara itu namun isu berkaitan keselamatan serta kemasukan pendatang asing bukan terletak di bahu kementerian serta jabatan di bawah seliaannya.

“Perkara penting bagi kami adalah menjaga kesihatan. Hal-hal seperti tidak mempunyai dokumentasi adalah ditangani oleh kerajaan melalui pihak bertanggungjawab.”

“Polisi kami ialah memberikan rawatan kepada individu yang memerlukan. Mereka juga adalah potensi untuk membawa penyakit menular,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini