KUALALUMPUR: Radio Komersil Malaysia (CRM) mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran sebagai Presiden, manakala Pengurus Besar Suara Johor Sdn Bhd, Rizal Sahimy sebagai Naib Presiden, pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 persatuan itu.
Menurut Nazri, beliau teruja dengan pelantikan itu dan berazam untuk memperkasa industri radio dan kuasa penceritaan audio pada masa depan.

“Kedudukan yang dihormati ini memberikan peluang yang luar biasa untuk membentuk masa depan industri radio, mempromosikan kuasa penceritaan audio dan memperjuangkan suara masyarakat kita yang pelbagai. Saya benar-benar teruja untuk bekerja bersama profesional berbakat dan rakan kongsi industri kami untuk mewujudkan persekitaran inklusif dan inovatif yang meningkatkan pengalaman radio untuk semua,” katanya.

Sementara itu bagi Rizal, beliau yakin, kerjasama baharu yang dibentuk mampu menjadikan radio sebagai platform kandungan inspirasi kepada semua lapisan masyarakat.
“Terima kasih atas peluang ini. Bersama-sama ahli majlis, kami boleh menjadikan radio sebagai platform yang menghubungkan jiwa anda melalui muzik yang hebat, acara yang tidak dapat dilupakan dan kandungan yang memberi inspirasi,” ujarnya.
Mesyuarat tahunan itu turut melantik Pengurus Berita Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Maslina Alias sebagai Setiausaha Kehormat dan Ketua Pegawai Operasi Max Air-Play Sdn Bhd, Giles Pinto sebagai Bendahari Kehormat.
CRM berfungsi untuk menyelaras peraturan bagi sebarang isu, menggalakkan aktiviti dan penglibatan pendengar, menganjurkan program untuk mahasiswa serta berkongsi sumber untuk penilaian penyelidikan.