comscore
Tumpuan :
Nasional

Nazri diyakini mampu rapatkan hubungan Malaysia – AS

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz disifatkan personaliti sesuai menjadi diplomat utama Malaysia di Amerika Syarikat (AS) kerana diyakini mampu merapatkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan AS.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Mohamed Nazri diberi tanggungjawab memperkukuh hubungan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B), pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan hubungan antara kerajaan (G2G) kedua-dua negara.

Selain itu, katanya, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut ditugaskan untuk mengatur pertemuan penting antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin kerajaan AS dan pemain korporat utama apabila Perdana Menteri melawat negara itu nanti.

“Beliau adalah personaliti yang sesuai untuk menjadi Duta Besar Malaysia ke AS kerana kita pernah mempunyai beberapa duta besar sebelum ini seperti Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang dapat menjalin hubungan lebih rapat antara kerajaan AS dan Malaysia.

“Saya percaya Anwar akan melawat AS, dan saya percaya Nazri mampu mengurus dan mengatur mesyuarat penting antara Anwar dan pemimpin utama kerajaan AS serta ketua korporat AS serta Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD) di sini, hari ini.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini