KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad dilantik sebagai Pengerusi Projek Sukan Prestasi Tinggi (PSPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts Dr Zaliman Sauli, berkata PSPT bertujuan memperkasa pembangunan atlet bertaraf dunia dan memastikan kejayaan konsisten di pentas antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan reputasi universiti di peringkat global.
“Kami yakin pendekatan komprehensif ini akan menjadikan PSPT sebagai platform unggul untuk melahirkan juara sukan bertaraf dunia yang bukan sahaja membawa nama UniMAP ke persada antarabangsa, tetapi juga menjadi kebanggaan negara,” katanya.
Beliau berkata, PSPT UniMAP memberi fokus kepada 11 acara sukan strategik, termasuk olahraga, karate, taekwondo, silat, boling padang, petanque, woodball, teqball, tenis, angkat berat, dan basikal.
“Setiap acara dipilih berdasarkan potensinya untuk mencipta pencapaian gemilang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Nazmizan yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, dijangka memainkan peranan penting dalam memacu PSPT ke tahap tertinggi.
Dengan pengalaman luas beliau dalam bidang sukan, serta sokongan jurulatih berkaliber, PSPT UniMAP bersedia mencipta era baharu dalam pembangunan atlet berprestasi tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.