KUALA LUMPUR: Adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dilaporkan telah selamat bernikah dengan seorang ahli perniagaan, hari ini.
Terdahulu tular sekeping gambar memperlihatkan beliau mengenakan busana pengantin serba putih untuk majlis pernikahan dengan wanita pilihan hatinya, Yati Zainuddin.
Gambar yang dikongsi anak bongsu Najib, Norashman, memperlihatkan bekas Pengerusi CIMB Bhd (CIMB) itu menyarung cincin kepada pasangannya.
“Congrats Uncle Jay @nazir.razak,” katanya menerusi Instagram Storynya di sini, hari ini.
Majlis pernikahan dilaporkan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Difahamkan, isterinya itu merupakan seorang ahli perniagaan dan pengasas bersama kosmetik, Bluemolly.
Terdahulu, Mohamed Nazir pernah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Azlina Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata.
Bagaimanapun, pasangan itu dilaporkan bercerai pada tahun ini.