comscore
Tumpuan :
Nasional

Naufal akhirnya ditemui

FOTO: NSTP

GERIK: Pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai di sini ditemui pagi tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini menemui Muhammad Naufal Adzimi Mohd. Harris, 17 ditemui selamat namun dalam keadaan lemah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, remaja berkenaan dijumpai pada jam 10.49 pagi.

Ini oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM)dalam jarak 2 kilometer (km) dari lokasi motosikal mangsa ditinggalkan dalam Kawasan kebun getah terbabit.

FOTO: NSTP

“Pasukan penyelamat yang dipecahkan kepada lapan kumpulan pencarian hari ini berjaya menjumpai mangsa. Lokasi berkenaan sebelum ini juga sudah pun dibuat pencarian namun mungkin situasi mangsa yang bergerak menyebabkan beliau tidak ditemui sebelum ini.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi ini dipecahkan kepada lapan kumpulan dan gerak kerja dimulakan dengan membuat laungan azan oleh Pegawai Operasi, Hasna Rashid,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, liputan komunikasi agak terbatas di kawasan pencarian selain usaha membawa mangsa keluar ketika ini sedang dilaksanakan menggunakan kenderaan, memandangkan saiz tubuh badan mangsa yang besar untuk dibawa ke Hospital Gerik.

Panggilan diterima oleh pihak bomba mengenai kehilangan remaja itu adalah pada kira-kira jam 1.33 pagi Khamis lalu oleh pihak polis yang memaklumkan Naufal kali terakhir dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam, sekitar jam 9 pagi Rabu lalu dengan mangsa dikatakan mengalami gangguan emosi sebelum kejadian itu.

Keluarga remaja itu yang berusaha mencarinya sebelum itu lagi iaitu sekitar jam 6 petang Rabu lalu bagaimanapun hanya menjumpai motosikal yang dibawa oleh remaja itu yang berada di tengah jalan dalam kawasan kebun getah.

Semalam, media melaporkan bapa remaja itu, Mohd Harris Muhamed, 46, berkata anaknya itu merupakan antara pelajar terbaik di maahad tahfiz tempat beliau belajar dan berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun.

Menurut laporan itu, pada Selasa malam iaitu sehari sebelum remaja itu dikatakan hilang, remaja itu dikatakan berkelakuan agak pelik seperti ketawa sendirian dan mencabut kedua-dua cermin sisi motosikalnya tanpa sebarang tujuan selain dikatakan memecut motosikal dengan laju keluar dari rumah kira-kira 2 pagi.

Loading...
Terkini