comscore
Tumpuan :
Nasional

Nassuruddin mulakan tugas rasmi sebagai MB Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu di bangunan Mabna di Kompleks Kota Darulnaim. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud yang baru dilantik semalam memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Terdahulu, beliau meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada jam 8.30 pagi sebagai simbolik melaporkan diri di pejabatnya di bangunan Mabna di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.

Foto: NSTP

Semalam, Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Kelantan dihadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Beliau adalah Menteri Besar Kelantan ketiga selepas PAS mengambil alih Kelantan pada 1990.

Nassuruddin berkata, beliau akan meneruskan kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini bagi Kelantan dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’.

Foto: NSTP

“Saya seru kepada semua rakyat untuk meneruskan legasi membangun bersama Islam ini. Kerajaan Kelantan juga akan mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

“Keutamaan saya menjadi Menteri Besar kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan sebagainya.

“Sementara itu, pembahagian portfolio bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), ia akan dibuat dalam terdekat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nassuruddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar dengan majoriti 9,154 undi.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu mempertahankan kerusi berkenaan sejak 1999.

Loading...
Terkini