comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasihat polis kepada pengunjung GP Malaysia

PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA 2023 | Ticket2u

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengunjung PETRONAS Grand Prix (GP) Malaysia 2023 dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur perlumbaan tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman menyeru pengunjung untuk menjaga keselamatan diri, anak dan harta benda semasa berada di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak dingini berlaku.

“Laporkan dengan kadar segera kepada pihak polis supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya.

PETRONAS GP Malaysia 2023 akan berlangsung bermula esok sehingga 12 November ini di SIC.

Selain itu, Imran menggalakkan pengunjung untuk hadir lebih awal serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mematuhi arahan papan tanda di sepanjang jalan dan tidak berhenti atau menghalang laluan kenderaan lain.

Kenderaan perlu diparkir di kawasan yang ditetapkan dan dalam keadaan berkunci.

“Jangan meninggalkan barang-barang berharga di dalam kenderaan bagi mengelakkan kecurian. Kenderaan yang diletak di bahu jalan akan ditarik dan dikompaun,” katanya.

Jelasnya, pengunjung juga tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata atau barang berbahaya ke dalam kawasan SIC dan tindakan tegas akan diambil atas kesalahan berkenaan.

Pengunjung turut diminta untuk mengelakkan daripada melakukan apa-apa tindakan provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perjalanan acara terbabit.

“Diingatkan juga, kawasan SIC merupakan kawasan larangan merokok. Patuhi larangan tersebut dan merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja. Tindakan kompaun akan diambil oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Loading...
Terkini