comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasib golongan istimewa di Pahang bakal terbela

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan (kiri) dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Zulkhairi Zainol Abidin pada program Pahang Memperkasa OKU 2023. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Majlis Penasihat Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai usaha membela nasib golongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, berkata penubuhan majlis itu sejajar hasrat kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesihatan golongan OKU di negeri ini sentiasa terbela menerusi peruntukan sebanyak RM150,000 setahun.

Beliau berkata, majlis penasihat OKU berfungsi menyelia pelaksanaan dasar OKU selain membuat cadangan berkaitan sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, advokasi, pembangunan dan kesejahteraan.

Katanya, matlamat penubuhan majlis penasihat OKU selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya, Pelan Tindakan Nasional Orang Kurang Upaya dan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya.

“Tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan beberapa peruntukan kepada golongan OKU, antaranya pembelian peralatan pemulihan kepada 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini dengan kos RM520,000 bertujuan meningkatkan potensi pemulihan OKU dan mengelakkan kecacatan menjadi lebih teruk.

“Kita juga menyediakan sumbangan sekali bayar RM250 kepada 300 Penyelia dan Petugas PDK,” katanya pada program Pahang Memperkasa OKU 2023, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Sabariah berkata, bagi belanjawan 2023, kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan beberapa inisiatif baharu kepada OKU, antaranya program khidmat bantu di rumah bagi menjaga hal ehwal kebajikan warga emas dan OKU dengan peruntukan RM1 juta.

Turut diadakan, Anugerah Premis Mesra OKU negeri dalam usaha memperbanyakkan akses dan kemudahan bersifat mesra OKU dengan peruntukan RM150,000.

Katanya, selain itu diadakan karnival sukan OKU PPDK dan menyediakan geran pembangunan dan insentif khas OKU membabitkan peruntukan RM850,000 serta program khusus bersama institusi pengajian tinggi negeri Pahang untuk golongan OKU berkemahiran dengan peruntukan RM1 juta.

“Peruntukan RM1.2 juta turut disediakan untuk membeli al-Quran Braille bagi keperluan OKU penglihatan dan pemberian sekali bayar RM50 kepada pemegang kad OKU membabitkan seramai 36,548 pemegang kad dengan peruntukan RM1.827 juta,” katanya.

Loading...
Terkini