
ALOR SETAR: Nasib anak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kehilangan upaya akibat kecederaan semasa bertugas akan terus dibela kerajaan terutama membabitkan aspek pendidikan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, ini kerana kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memahami keadaan mereka yang tidak mampu lagi bekerja selepas bersara bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk pendidikan anak-anak di peringkat tinggi.
“Kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM dan justeru itu, Kementerian Pertahanan melalui JHEV sudah menambahbaik beberapa faedah antaranya membabitkan pendidikan anak veteran.
“Julat Elaun Pelajaran Anak-Anak Penerima Pencen Hilang Upaya turut dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 setahun kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan, sekiranya ada lima anak yang belajar ke universiti, setiap orang layak dapat jumlah yang ditetapkan.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 700 ke 800 peratus daripada kadar sebelum ini, apa sahaja kecederaan yang dialami oleh mereka semasa bertugas, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab sama ada terhadap veteran itu sendiri, keluarga mereka serta memastikan pendidikan anak-anak mereka terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM Kedah di sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai 34 veteran ATM yang cedera sewaktu melaksanakan operasi atau menjalani latihan yang berisiko tinggi menerima faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) serta lapan penerima terdiri daripada anak-anak veteran menerima sumbangan komputer riba.
Adly berkata, pemberian GHU kepada lebih 1,800 veteran ATM yang sepatutnya diselesaikan sebelum Ramadan ini, akan cuba diselesaikan sebelum Aidilfitri berikutan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi terutamanya membabitkan Sabah dan Sarawak.
Beliau turut memaklumkan kerajaan turut menaikkan Elaun Layanan Sentiasa kepada veteran daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022.
Selain itu, katanya, kerajaan turut mewujudkan GHU disebabkan oleh kecederaan semasa tugas aktif yang akan diberi secara sekali gus kepada semua anggota ATM yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.