comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasab kanak-kanak rumah amal GISBH akan dirujuk ke Mahkamah Syariah

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan nasab sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH), yang diselamatkan sebelum ini, akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata ia adalah kerana penentuan nasab ini terletak di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Mengulas lanjut katanya, penentuan sah taraf anak yang dikaitkan dengan GISBH itu adalah penting demi masa depan mereka.

“Maka maknanya hakim mahkamah syariah yang akan melihat pada keterangan sama ada keterangan lisan atau dokumen…dari situ ia akan menentukan sama ada wujudnya perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak.

“Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa anak itu adalah anak yang sah taraf baharulah boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah, di Menara Tabung Haji.

Pada masa sama, Datuk Dr Mohd Nai’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memainkan peranan dalam jawatankuasa khas bagi menyelaraskan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, JPN tidak boleh mendaftarkan anak terbabit sehingga menyebabkan mereka perlu di ‘bin’kan Abdullah berikutan tiada dokumen sah yang menunjukkan wujudnya perkahwinan.

Katanya, apabila mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan mereka adalah sah kelak, sijil pernikahan boleh dikeluarkan jabatan agama Islam negeri.

“Dengan adanya sijil pernikahan itulah yang membolehkan JPN untuk mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kelahiran sah semua anak terbabit.

“Isunya sekarang , anak-anak itu seolah-olah tidak sah taraf dan tiada dokumen yang menunjukkan mereka lahir hasil daripada perkahwinan yang sah,”katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis menyelamatkan 392 kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH dari 20 rumah amal dalam Op Global baru-baru ini.

Tan Sri Razarudin dilaporkan berkata, siasatan juga mendapati, sebahagian kanak-kanak ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah yang mana ibu bapa tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini