Oleh: Aslina Abu Bakar
SHAH ALAM: Menyimpan makanan atau bahan mentah dalam tong sampah walaupun ia bersih dan baru masih tidak mencapai standard penyediaan makanan yang ditetapkan.
Umum mengetahui jika tidak mematuhi panduan menyimpan makanan dengan betul mengundang kemudaratan, tetapi masih ada segelintir perniaga mengambil mudah dan menjadikan tong sampah sebagai bekas menyimpan makanan.
Hasil tinjauan Buletin TV3 di kedai makan sekitar Shah Alam mendapati ada peniaga menjadikan tong sampah sebagai bekas simpanan air.
Dakwa mereka tong sampah ini bukan digunakan untuk menyimpan makanan tetapi sebagai bekas meredam dan membasuh sayur- sayuran.
Selain itu juga, tong sampah turut dijadikan bekas meletak pingan mangkuk yang telah digunakan sebelum ia dibersihkan.
Hal itu dibimbangi memudaratkan pengguna lain ekoran pencemaran silang yang mungkin berlaku jika pinggan tidak dicuci dengan bersih.
Peniaga, Ariff Shamsul, 31, berkata, orang ramai tidak boleh pukul rata memandangkan masih ada peniaga yang cakna aspek penyimpanan makanan yang betul.
“Nama pun tong sampah, memang tidak sesuai digunakan untuk menyimpan makanan, kalau peniaga masih degil mahu guna tong sampah memang akan dikecam.
“Sepatutnya peniaga perlu pergi kursus, kalau tiada pengetahuan am macam ni akan memudaratkan ramai orang,” katanya.
Peniaga, Nurzaimah Mat Zawawi. 38 berpandangan, peniaga sepatutnya maklum mengenai panduan menyimpan makanan dengan selamat kerana ia salah satu perkara wajib yang perlu dipatuhi.
Dakwaan tong sampah bersih atau masih baru tidak menjamin makanan yang disimpan selamat dimakan.
“Syarat itu antara ditekankan dalam kursus dikendalikan oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Benda tu (tong sampah) kita tahu memang tak boleh digunakan walaupun dia bersih atau baru beli skalipun..Tak boleh guna sebab ia khas untuk sampah benda yang kotor sahaja.. kalau sampah pun kita lapik dengan plastik hitam, memang tak terus masuk sampah dalam tong macam tu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, Megat Azman Megat Mokhtar, berpendapat pengkhususan terperinci perlu diberikan kepada peniaga terutama berkaitan aspek pencemaran silang yang sering terjadi terutama ketika penyediaan makanan.
“Pencemaran silang boleh berlaku kerana bahan yang digunakan bagi pembuatan tong sampah itu mempunyai bahan tertentu yang mungkin boleh mencemarkan makanan.
“Jadi di sini makanan itu telah pun tercemar dengan bahan yang digunakan untuk membuat tong sampah atau makanan yang disimpan dalam tong tersebut mungkin tercemar dengan sampah yang diletakkan di dalam tong itu sebelum ia digunakan sebagai tempat menyimpan makanan,” katanya.
Jelasnya lagi penggunaan tong sampah bukan sahaja boleh mengelirukan pekerja malah menimbulkan tanda tanya kepada orang awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.