comscore
Tumpuan :
Nasional

Nama Abdul Latiff, Zainab Disebut Dalam Laporan Audit Forensik LCS

KUALA LUMPUR: Laporan Audit Forensik berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang dalam simpanan Bousted Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) disiarkan kepada umum malam tadi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata lembaga pengarah BHIC bersetuju untuk nyahklasifikasi dokumen berkenaan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berkaitan perkara itu sebelum ini.

Dalam ciapan mesej Twitter, Hishammuddin turut mengepilkan surat daripada BHIC kepada Sekretariat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan nyahklasifikasi dokumen berkenaan.

Menjawab persoalan beberapa butiran dalam laporan berkenaan yang dipadam, Hishammuddin berkata:

“Laporan ini hanya mengenai audit forensik LCS kerana ia merupakan laporan audit forensik dalaman syarikat, turut merangkumi maklumat dalaman syarikat BHIC yang lain.”

Laporan itu juga menyebut nama ‘Abdul Latiff Ahmad’ dan ‘Zainab Mohd Salleh’.

BH Online sebelum ini memetik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.

Katanya, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Dr Abd Latiff.

“Beliau (Dr Abd Latiff) adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Dr Abd Latiff yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS, adalah isterinya.

Dr Abd Latiff berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh, bukan isteri saya seperti yang dinyatakan dalam laporan berita,” katanya.

Sementara itu, laporan berkenaan menyatakan, individu bernama ‘Zainab Mohd Salleh’ itu ialah isteri kepada ‘Abdul Latiff Ahmad’.

Laporan setebal 104 muka surat, yang dinyahklasifikasi hari ini, menyatakan Zainab menjadi pengarah dan pemegang saham kepada empat syarikat iaitu Alizes Marine Ltd yang berdaftar di Malta, Intralogistics Ltd yang berdaftar di Labuan, Sousmarin Armada Sdn Bhd dan Mega P Sdn Bhd.

Laporan itu menyatakan, terdapat kejanggalan terhadap pemilihan Alizes Marine Ltd sebagai syarikat pembekal alat ganti projek LCS kerana ia hanya diperbadankan pada 13 Julai 2011, iaitu kurang dua bulan sebelum tarikh surat dikeluarkan oleh DCNS, antara lain bagi pembekalan alat ganti.

Justeru, syarikat itu tidak mempunyai rekod prestasi.

Alizes Marine Ltd berdaftar dengan nama yang sama di dua tempat iaitu di Labuan dan Malta, yang kedua-duanya adalah syarikat pesisir luar pantai.

“Sifat perniagaan Alizes Marine adalah perdagangan borong (B2B) pelbagai bekalan dan peralatan industri.

“Ia tidak berkaitan dengan peralatan pertahanan, justeru mereka tidak mempunyai pengalaman yang dimahukan,” katanya.

Laporan itu menyatakan, sepanjang 2011 hingga 2014, Bousted Penang Shipyard Sdn Bhd (BDNC) mengeluarkan 53 pesanan pembelian (POS) yang memihak kepada Alizes Marine Perancis berjumlah kira-kira 50 juta euro ( RM210 juta) bagi perolehan alat ganti.

Bagaimanapun katanya, bayaran sebanyak 43.69 juta euro dari 2011 hingga 2015 dibuat atas nama Alizes Marine Limited, yang mempunyai akaun bank di Singapura.

Laporan itu menyatakan, BNS membuat pembayaran ini berdasarkan arahan yang diberikan Alizes Marine Perancis seperti yang tertera pada invois yang dibangkitkan mereka.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini