BATU PAHAT: Selepas lebih 138 tahun terkenal sebagai salah satu daerah pengeluaran kopi, industri ini akhirnya diangkat sebagai produk pelancongan baharu sekali gus mampu menarik pengunjung menikmati minuman keluaran tempatan itu.
Melalui ‘Batu Pahat Coffee Days’, program bertemakan ‘Nak Ngopi Datang BP’ akan meletakkan daerah ini sama seperti beberapa daerah lain di Johor.
Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Pahat, Ezahar Abu Sairin berkata, ‘Batu Pahat Coffee Days’ mengambil kira sejarah pembukaan ladang dan kebun kopi di daerah ini pada 1885 di Bukit Penggaram berhampiran Pengkalan Jeram, di sini.
Menurutnya, sejarah bermulanya kopi di Batu Pahat pada suatu ketika dahulu bukan suatu perkara baharu bagi masyarakat di sini.
“Setakat ini, terdapat 30 kedai kopi di Bandar Penggaram, Parit Raja, Sri Gading dan Rengit yang sudah lama dikenali selain pengusaha pokok kopi seperti Rengit Kopi.
“Melalui pendekatan ini, kami amat komited untuk memastikan daerah ini tidak lagi ketinggalan dalam mengetengahkan produk pelancongan dari segi makanan, pelancongan eko, sukan dan bandar warisan.
“Kita juga sudah merancang beberapa aktiviti lain serta produk pelancongan baharu yang mana akan dilaksanakan mengikut fasa dan kesesuaiannya,” katanya ketika merasmikan ‘Batu Pahat Coffee Days’, ‘Nak Ngopi Datang BP’ di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Tourism Johor, Mohd Azahari Abu Bakar.
Sebelum ini, industri pengeluaran kopi terkenal di daerah Kluang dan Muar.
Katanya lagi, pihaknya yakin dengan memperkenalkan kopi sebagai produk baharu pelancongan, lebih banyak aktiviti ekonomi mampu dijana sekali gus meningkatkan nilai tambah semasa dan ekonomi setempat.