Tumpuan :
Nasional

Nak meniaga tetapi ‘suka hati’ letak peralatan perniagaan di parkir dan kaki lima

Kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita peralatan kerusi dan meja dari sebuah restoran yang gagal mematuhi notis pihaknya di sekitar Bandar Utama Batang Kali, kelmarin

HULU SELANGOR: Sudahnya kena sita…itu ‘bayaran’ atas kedegilan segelintir pemilik kedai makan dan restoran meletakkan peralatan perniagaan mereka di tempat letak kenderaan serta kaki lima .

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, terdahulu Jabatan Perlesenan bersama Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menjalankan operasi sita itu kelmarin di sekitar Jalan Ara 2 (Kawasan Perniagaan Jalan Ara) dan Jalan Meranti 2a (Kawasan Perniagaan Jalan Meranti), Bandar Utama Batang Kali, di sini.

“Tindakan dibuat selepas kesemua pemilik premis perniagaan berkenaan gagal mematuhi arahan notis yang dikeluarkan MPHS di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, untuk mengalihkan barang-barang yang berkaitan dengan perniagaan mereka dari lokasi tersebut.

“Semasa operasi juga, terdapat pemilik restoran meletakkan peralatan perniagaan seperti kerusi dan meja di kaki lima dan tempat meletak kenderaan berhampiran dengan premis terbabit,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati pemilik premis gagal menunjukkan bukti memiliki kebenaran bertulis (permit) daripada MPHS.

MPHS berkata, kesemua barang yang disita dialihkan menggunakan peruntukan Seksyen 46(3), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan dan tindakan akan diambil kepada individu yang didapati gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Loading...
Terkini