Tumpuan :
Nasional

“Nak kritik Perdana Menteri atau saya tidak jadi masalah..tapi jangan memperlekeh dan hina” – Ahmad Maslan

PORT DICKSON: Kerajaan Perpaduan tidak ada masalah menerima kritikan tetapi bukan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setiap pemimpin sama ada dari pembangkang atau kerajaan seharusnya lebih berhati-hati ketika berucap.

“Kalau nak kritik, kritik dasar Kerajaan Perpaduan. Nak kritik Perdana Menteri atau saya tidak jadi masalah dan kita boleh berlawan fakta dengan fakta, data dengan data dan hujah dengan hujah.

“Tapi jangan memperlekeh dan hina. Itu perkara yang tidak boleh dilakukan sama ada oleh ahli politik kerajaan pembangkang atau kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bilik Gerakan UMNO Cawangan Seri Kemang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, sesiapa pun termasuk pemimpin politik dari kerajaan tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan undang-undang jika melakukan kesilapan sebegitu.

“Kita kena faham bahawa ada perkara tak boleh disentuh sama ada ketika hampir pilihan raya atau pada masa-masa lain.

“Terutamanya soal kedudukan raja-raja itu adalah perkara bawah (kesalahan) hasutan dan kita harap ia beri pengajaran kepada semua pemimpin sama ada parti kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Beliau juga menyangkal dakwaan tindakan terbabit diambil kerana Muhammad Sanusi adalah Menteri Besar dari negeri parti pembangkang.

Malah katanya, beliau sudah sedia maklum cara Pengarah Pilihan Raya PN itu berucap kerana pernah ceramah sepentas dengannya ketika UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

“Saya nak ingatkan penyokong PAS, ini bukan dipanggil tuduhan bersifat politik. Ini silap dia sendiri.

“Tak kira siapa dia, kalau silap begitu, dia kenalah (tanggung tindakan). Mungkin dia anggap diri dia ‘fenomena’, maka dia pun tak hiraukan batasan-batasan,” katanya.

Loading...
Terkini