comscore
Tumpuan :
Nasional

Najis Tikus Ditemui, Premis Makanan Diarah Tutup

GEORGETOWN: Penemuan najis tikus dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik, antara kesalahan menyebabkan sebuah premis makanan di daerah Timur Laut, di sini, diarah tutup sementara.

Arahan notis penutupan sementara itu dikeluarkan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Operasi Penguatkuasaan Premis Makanan yang dijalankan di kawasan daerah itu, petang semalam.

Sebuah lagi premis dikenakan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan.

MBPP menerusi kenyataannya berkata, antara kesalahan lain ialah tidak mempunyai lesen establisymen makanan dan tiada lesen aktiviti hiburan.

Sementara pekerja di premis berkenaan pula didapati tidak mendapatkan suntikan anti tifoid.

“Sebuah premis makanan berkenaan diperintahkan penutupan sementara selama 14 hari sehingga 19 Oktober ini bagi kerja pembersihan.

“Kompaun juga dikenakan atas pelbagai kesalahan seperti penemuan najis tikus dan perangkap minyak yang tidak diselenggara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini, semalam.

Notis penutupan dilakukan mengikut Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MBPP 1991.

Susulan itu, MBPP menasihati semua pengusaha makanan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas penguatkuasaan.

Loading...
Terkini