comscore
Tumpuan :
Nasional

Najis tikus cemari kilang proses makanan 

Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memeriksa kebersihan kilang memproses makanan di Batu Berendam. Foto ihsan JKNM

MELAKA: Empat kilang memproses makanan di negeri ini diarah tutup 14 hari susulan penemuan najis tikus serta tahap kebersihan tidak memuaskan .

Notis arahan penutupan sementara itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menerusi Operasi Bersepadu Kilang 2023.

Pengarahnya, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, ia bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan ke atas empat premis berkenaan di Bukit Rambai, Serkam, Umbai dan Batu Berendam.

“Operasi bersepadu diadakan selama dua hari iaitu 31 Julai lalu hingga semalam membabitkan 30 anggota penguat kuasa JKN Melaka dari daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

“Sebanyak 13 premis diperiksa dan kita mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM35,200 dan empat premis diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana terdapat kehadiran najis tikus serta berada dalam tahap kebersihan tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga semalam,  61 kilang makanan dikenakan tindakan tegas dengan 37 kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bernilai RM48,400 serta lima kilang diarahkan kerana tahap kebersihan tidak memuaskan.

“Bagi kesalahan premis pengilangan makanan tidak menyediakan atau mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM), sebanyak 12 kilang dikenakan kompaun bernilai RM30,000,” katanya.

Aduan mengenai premis pengilangan makanan yang kotor serta makanan produk tamat tarikh luput dan mempunyai bungkusan yang rosak boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my.

Loading...
Terkini