PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik dua rayuan untuk mendapatkan dokumen transaksi kewangan firma pelaburan Goldman Sachs dan dokumen perbankan berhubung bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.
Perkara itu dimaklumkan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim .
Menurut Muhammad Shafee, pihak perayu (Najib) akan menarik balik dua permohonan utama itu tanpa perjudis bagi dihujahkan semula di semua peringkat mahkamah.
Katanya, pihak responden iaitu pendakwaan tidak membantah hak perayu memohon semula (dokumen berkenaan) apabila saksi relevan (Zeti) dipanggil dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Justeru, panel kemudian membatalkan dua rayuan itu, tanpa mendengar merit kedua-duanya.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk mendapatkan dokumen berkenaan selepas memutuskan dokumen berkaitan dakwaan dana yang diterima oleh keluarga Zeti tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapinya dan tidak akan membantunya dalam pembelaan kes 1MDB.
Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai 2021 yang menolak dua permohonan untuk meminta pendakwaan mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
Bekas perdana menteri itu juga memohon untuk mendapatkan dokumen perjanjian penyelesaian sulit antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.