comscore
Tumpuan :
Nasional

Najib minta BNM keluarkan surat bersihkan nama – Zeti

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang memberikan keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak hari ini, menafikan beliau dan keluarga menerima faedah daripada penyelewengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tiada seorang pun dalam keluarga saya menerima atau mengambil duit 1MDB, tiada satu sen pun,” katanya.

Zeti berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, sama ada terdapat dalam kalangan ahli keluarganya menerima faedah daripada 1MDB.

Sementara itu, Zeti melalui pernyataan saksinya berkata, Datuk Seri Najib Razak meminta BNM membersihkan namanya berhubung wang berjumlah RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Zeti, beliau bagaimanapun enggan mematuhi permintaan Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu, kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenai akaun bank terbabit.

Katanya, Najib memanggilnya ke pejabatnya pada 3 Julai 2015 dan memintanya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau (Najib) tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam akaunnya.

“Saya beritahunya saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan begitu kerana tiada pengetahuan mengenai transaksi dalam akaunnya. Beliau terima keputusan saya.

“Sejurus selepas mesyuarat itu, saya menerima panggilan daripada Menteri Kabinet yang membuat permintaan sama dan saya berikan jawapan sama iaitu saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak tahu apa yang berlaku dalam akaunnya,” katanya.

Zeti menjelaskan, beliau tidak mengetahui wang berjumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Najib dan ia juga adalah wang milik 1MDB ketika itu.

Katanya, Najib ketika ditemu bual media mendakwa bahawa beliau (Zeti) mengetahui mengenai wang berkenaan dalam akaun AmIslamic Bank Bhd miliknya dan tidak membangkitkan sebarang soalan mengenainya.

“Saya ingin menyatakan tanpa sebarang keraguan bahawa saya tidak mengetahui transaksi yang berlaku dalam akaun peribadinya pada masa itu.

“Ini adalah kerana semua pemegang akaun dalam sistem kewangan kami dilindungi oleh peruntukan kerahsiaan perbankan dalam perundangan kami.

“Tiada sesiapa pun boleh mengakses mana-mana akaun melainkan institusi kewangan terbabit mengesan aktiviti mencurigakan dalam akaun itu dan melaporkannya kepada bank pusat,” katanya.

Menurut saksi pendakwaan ke-46 itu, kebimbangan utama pada masa itu ialah AmBank tidak melaporkan kepada BNM mengenai lebih 500 transaksi berkaitan akaun itu yang mencurigakan atau tidak teratur seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Katanya, AmBank membayar penalti tertinggi dalam sejarah berjumlah RM59 juta dan dikehendaki memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk pembaikan bertujuan mengukuhkan sistem dalaman mereka bagi pematuhan sistem Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Loading...
Terkini