comscore
Tumpuan :
Nasional

Naik 40 tangga, Malaysia di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia tahun ini

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berasa selesa dan terus melihat penambahbaikan untuk memperbaiki kedudukan lebih baik pada masa hadapan, di sebalik peningkatan 40 anak tangga Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, kedudukan Malaysia yang berada di tangga ke-73 indeks berkenaan berbanding tangga ke-113 tahun lalu, adalah satu berita baik dan jauh lebih baik daripada yang disangkakan.

“Kenaikan 40 anak tangga ini adalah satu perkara di luar jangkaan dan amat positif kepada negara dan pihak kerajaan. Tapi yang penting seperti yang saya sebut sebelum ini bagi laporan (Indeks Kebebasan Media Dunia) tahun 2022 adalah komitmen pihak kerajaan dan perdana menteri untuk menjamin kebebasan media serta suasana bagi wartawan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Indeks berkenaan yang disiarkan di laman sesawang RSF, bertujuan membandingkan tahap kebebasan pengamal-pengamal media di 180 negara dan wilayah seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Fahmi sekali lagi berkata, kerajaan sedang meneliti draf Rang Undang-Undang (RUU) baharu termasuk Majlis Media.

Pada masa sama, beliau berharap, proses perbincangan dengan organisasi media termasuk syarikat serta badan wartawan dapat dirancakkan menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei ini.

“(Proses perbincangan ini) supaya perkara asas atau isu yang dihadapi oleh rakan media dapat kita atasi dan tangani dengan mampan. Ini termasuk isu ekonomi, kerjasama, aspek etika kewartawanan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, ditanya komitmen kerajaan berhubung kebebasan media yang dilihat seolah-olah membuat ‘pusingan U’ untuk memansuh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Fahmi berkata, buat masa ini, kerajaan belum membuat keputusan terhadap pemansuhan akta tersebut.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pakatan Harapan (PH) berjanji akan mengkaji dan memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 masih relevan dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan kajian terhadap semua undang-undang berdasarkan keperluan semasa.

Loading...
Terkini