Tumpuan :
Nasional

Nahas sewaktu beli air tebu, warga emas maut

Pasukan bomba membantu mangsa yang cedera dalam nahas di Jalan Tangga Batu, petang semalam. – FOTO: NSTP/Ihsan IPD Melaka Tengah.

MELAKA: Wanita warga emas maut ketika dirawat di Hospital Melaka selepas parah dalam nahas tiga kereta di Jalan Tangga Batu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, Zainah Abdul Latif, 65, dan suaminya berusia 68 tahun sedang berhenti di bahu jalan berhampiran gerai dipercayai untuk membeli air tebu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila sebuah kereta Proton Persona dari arah Balai Bomba Tangga Batu menghala ke arah Tangga Batu dipercayai mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang memasuki laluannya di lokasi kejadian.

Katanya, akibatnya kereta dipandu lelaki pesara kastam berusia 70 tahun itu merempuh Proton Saga dinaiki mangsa dan suaminya yang berhenti di bahu jalan sebelah kiri.

“Kejadian berlaku ketika penumpang Proton Saga hendak keluar dari keretanya dan rempuhan dari belakang itu menyebabkan kenderaan itu terperosok ke hadapan dan melanggar Perodua Kancil yang diparkir di bahu jalan yang turut melanggar sebuah gerai.

“Akibat kemalangan itu, suri rumah terbabit cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah pada jam 8.15 malam tadi.

“Lelaki peniaga yang juga pemilik kereta Kancil mengalami luka di kepala dan kini dirawat di zon kuning,” katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, pemandu Persona dan Proton Saga itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua kenderaan yang terbabit nahas ditahan untuk dihantar menjalani pemeriksaan teknikal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini