SEMENYIH: “Hati saya rasa tak sedap bila lihat rakaman video kemalangan yang tular’.
Itu kata Faiz Azim Abu Bakar, 19, adik kepada Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang disahkan maut bersama Yuswar Mohd Uyus, 39, dalam kemalangan membabitkan treler muatan batu pasir yang merempuh beberapa kenderaan di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, Putrajaya, semalam.
Faiz berkata, dia dimaklumkan oleh rakannya mengenai kemalangan terbabit yang tular menerusi beberapa rakaman video di media sosial.
“Lebih 20 kali saya lihat video (kemalangan) itu dan tak menyangka firasat menyatakan abang (Faris) terbabit dalam kemalangan terbabit ternyata benar,” katanya.
“Apa yang menyebabkan saya rasa sebegitu adalah pada pagi kejadian (semalam) sebelum keluar dari rumah, abang ada meminjam jaket saya untuk ke tempat kerjanya di Subang.
“Saya lihat dengan jelas jaket dan motosikal jenis Honda miliknya dalam video berkenaan. Apabila saya dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan itu kira-kira jam 3 petang (semalam), saya rasa sebak kerana firasat saya ternyata betul,” katanya yang bekerja sebagai pembuat roti.
Faiz berkata, dia merasa sebak kerana tidak banyak berbual dengan abangnya sebelum ini kerana kekangan kerja memandangkan syif mereka bekerja adalah sama iaitu pada waktu malam.
“Kali terakhir berjumpa dan bercakap dengan abang adalah pada pagi kejadian semasa dia mahu meminjam jaket dan perbualan itu hanya singkat.
“Sebelum ini, dia tidak ada menunjukkan sebarang perubahan. Difahamkan ketika kejadian, dia keluar bertemu rakannya ke Putrajaya sebelum ke tempat kerjanya di pejabat pos di Subang.
“Abang yang juga anak kedua daripada tiga beradik adalah seorang yang tegas, namun bersikap pendiam dalam kalangan rakannya,” katanya.
Menurutnya, jenazah abangnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang, di sini, selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, biras kepada Yuswar, Mohd Azuan Mohd Zain, 37, berkata, dia melihat rakaman video kemalangan itu yang tular di pada pagi semalam, namun tidak menyangka ia melibatkan birasnya.
“Sebaik mendapat perkhabaran itu, kami sangat terkejut. Ibu mentua paling terkesan dengan pemergian arwah yang paling rapat dengannya dan mengambil berat terhadap ahli keluarga lain.
“Yuswar memang rapat dengan saya kerana kami berdua saja lelaki memandangkan dia anak tunggal lelaki daripada tiga beradik, manakala kakak serta adik arwah masih belum berkahwin,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu arwah yang bertugas di Mahkamah Ampang pada Ahad lalu ketika makan di rumahnya di Flat Sri Pulau Pinang, Cheras, Kuala Lumpur.
“Ketika itu, saya lihat dia tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik,” katanya.
Allahyarham Yuswar dipercayai dari Mahkamah Ampang ke Istana Kehakiman Putrajaya atas tujuan kerja ketika kejadian.
Semalam, Buletin TV3 melaporkan dua penunggang motosikal maut, manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan treler muatan batu pasir merempuh beberapa kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, Putrajaya.
Kemalangan jam 10.15 pagi ini membabitkan 14 kenderaan iaitu treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.