comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Pesawat Di Elmina: Kenyataan Penuh CAAM

KEMALANGAN PESAWAT DI ELMINA, SHAH ALAM, SELANGOR

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV telah terhempas dekat Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis, 17 Ogos 2023.

Pesawat berkenaan yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2:08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Artikel berkaitan: 10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina

Hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2:47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2:48 petang. Pada pukul 2:51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat
tersebut.

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.
Keseluruhan seramai enam penumpang dan dua kru berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Artikel berkaitan: Pesawat terhempas tidak buat panggilan kecemasan ke menara kawalan

Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

DATO’ KAPTEN NORAZMAN BIN MAHMUD
Ketua Pegawai Eksekutif
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia

Loading...
Terkini